Minggu, 03 Oktober 2010

PERSIAPAN UNTUK MENJADI PENTERNAK AYAM KAMPONG ASLI

4/10 - Tajuk yang ingin saya perkatakan kali ini adalah persiapan yang perlu dilakukan oleh bakal penternak yang ingin menceburi bidang penternakan ayam sebagai penjana sumber pendapatan. Saya terpanggil untuk membincangkan perkara ini berikutan banyak penternak kecil-kecilan macam saya sendiri yang mengundurkan diri oleh berbagai sebab. Tajuk ini juga boleh digunakan oleh pembaca yang teringin untuk menceburi bidang penternakan dan sedang mengumpul matlumat, mencari panduan atau pengetahuan. Skop yang akan saya bincangkan adalah didalam bidang penternakan ayam kampong asli dan ayam kampong kacok komersil.

Didalam sesuatu bidang yang ingin diceburi terutamanya dibidang penternakan, kita tidak boleh lari dari 4 perkara asas yang perlu ada untuk menjayakan sesuatu projek . 4 komponen tersebut adalah keusahawananan(Entrepreneurship), modal(Capital), tanah(Land) dan pekerja(Labour). Saya akan membincangkan perkara ini satu persatu serta menghubung kaitkannya dengan keperluan didalam bidang penternakan.



MOHON KLIK WEBSITE YANG BERIKUT BAGI MEMBANTU SAYA MENAIKKAN RATING WEBSITE UNTUK MEMBANTU PERNIAGAAN SAYA SEKARANG. TERIMA KASIH

Pembekal Kayu Bakau: http://pembekal-kayu-bakau.com

                                     : http://www.facebook.com/pembekalkayubakau

Pembekal Atap Lalang: http://alangalangmalaysia.com


Pakej Katering/Kanopi/Perkahwinan ala Kampung: http://kahwin-kampung.blogspot.com


A. Keusahawananan(Entrepreneurship)

Jika seseorang ingin menjadikan penternakan sebagai penjana sumber pendapatan, ia harus mempunyai sifat-sifat sebagai seorang usahawan. Perkataan usahawan itu sendiri adalah berasal dari perkataan 'usaha'. Ini bermakna sesesorang yang ingin menternak hendaklah berusaha didalam bidang yang diceburinya dan usaha ini bermula dari peringkat membuat kajian:
a. kebolehan diri dari sudut ilmu pengetahuan atau pengalaman dalam bidang penternakan,
b. keupayaannya untuk mentadbir urus projek ternakannya,
c. keupayaannya untuk mengorbankan masa dan tenaganya yang terluang

sebelum ini

untuk perkara-perkara lain termasuk diri dan keluarga sendiri,

d. keupayaannya untuk memasarkan hasil ternakannya,

e. minatnya terhadap bidang penternakan.

f. mempunyai kemahiran asas pertukangan kayu, eletrik dan air.

Jika anda telah memenuhi keperluaan diatas, maka anda layak menjadi penternak ayam kampong dan boleh berjaya. Tanpa memenuhi salah satu dari perkara diatas, anda akan dapati bidang penternakan ayam adalah perkara yang membebankan diri anda dalam banyak sudut.


i) Ilmu pengetahuan atau pengalaman dalam penternakan
Tanpa pengetahuan atau pengalaman berkaitan penternakan ayam, bakal penternak itu telah menempah untuk gagal dari awal lagi. Tanpa pengetahuan tentang teknik-teknik pemeliharaan, pemakanan, penyakit dan ubat-ubatan, ternakan anda akan menghadapi masalah sepanjang tempoh pembesarannya. Jika tiada pengalaman, buatlah kajian secara ilmiah, menghadiri kursus atau secara 'attachment' di ladang-ladang atau reban rakan-rakan yang telah berjaya. Sambil mendapatkan pengalaman, timba ilmu pengetahuan seberapa banyak yang boleh. Selain dari itu, baca blog-blog penternak yang sudah berjaya kerana mereka adalah sumber ilmu. Ikut mana yang betul. Selepas itu, buat lah perancangan dengan teliti setiap peringkat-peringkat pelaksanaan yang dirancang supaya ada panduan atau hala tuju projek tersebut. 

Ingat, jika anda gagal merancang, anda merancang untuk gagal.



Jangan sesekali menyalahkan atau mengkritik penulis blog secara terbuka atau didalam email jika anda gagal secara keseluruhan atau diperingkat-peringkat tertentu. Kegagalan anda bukan berpunca dari kesilapan mereka. Pasti ada kesilapan yang dilakukan tanpa menyedari punca kesilapan itu berlaku. Sikap suka menuding jari tidak akan membawa anda kearah kejayaan. Sebenarnya, apabila anda menuding jari kearah seseorang, 3 jari lagi sedang menuding kearah anda sendiri. Muhasabah diri dahulu atas kegagalan yang berlaku pada diri anda. Buat 'post-mortem' secara iklas dan tidak menipu diri sendiri. Akui kelemahan diri sendiri, dan ambil tindakan memperbetulkan kesilapan tersebut.



ii) Keupayaan untuk mentadbir urus projek
Apabila anda telah membuat keputusan untuk menternak, fikirkan sedalam-dalamnya keupayaan diri anda untuk mengurus tadbir reban atau ladang anda. Walau sebesar mana projek, mesti ada yang mentadbir urus samada diri sendiri atau menggajikan seseorang bersesuai dengan kemampuan atau sais ternakan anda. Namun harus diingat, didalam projek yang kecil dan sederhana, adalah sangat digalakkan anda sendiri yang menguruskannya. Antara perkara yang perlu ditadbir urus adalah:
a. jadual makan seharian dan jenis makanan mengikut umur
b. jadual pembersihan bekas makan dan minum
c. jadual pemberian vaksin
d. jadual pemberian vitamin tambahan
e. jadual pembersihan najis
f.  jadual pembasmian kuman
g. pemberian antibiotik/ubat mengikut jenis simpton yang ditunjukkan
h. pengasingan ayam yang sakit dan rawatannya
i. tindakan pencegahan dari serangan pemangsa
j. pengasingan ayam yang akan dijual
k. lain-lalin lagi yang saya tak ingat nak tulis

Jika anda gagal untuk melaksanakan perkara-perkara yang dinyatakan diatas, anda sudah menempah kegagalan. Jika anda tidak berkemampuan untuk melaksanakan bersendirian jika ternakan skala kecil, fikir-fikir lah sendiri.


iii. keupayaan untuk mengorbankan masa dan tenaga

Untuk menjadi penternak, anda mesti bersedia mengorbankan masa dan tenaga yang terluang sebelum ini untuk perkara-perkara lain termasuk diri dan keluarga anda. Anda akan terikat kepada tugas-tugas rutin seperti memberi makan, minum, membersihkan reban, membuka dan menutup pintu reban, merawat ayam bila perlu dan sebagainya. Hujung minggu bukan lagi masa anda berehat dan membaca akbar sambil bersarapan dengan selesa. Cuti-cuti Malaysia tidak lagi menjadi agenda hidup anda kerana anda tidak boleh meninggalkan reban untuk jangka masa yang lama terutama anak-anak ayam yang baru menetas dan didalam brooder. Makan/minum anak ayam perlu diisi dan diganti air baru setiap hari. Telor-telor didalam incubator manual tidak boleh ditinggalkan kerana perlu digolek 2-3 kali setiap hari. Jika anda melakukan secara part-time, anda terpaksa bangun seawal 6 pagi untuk memberi makan atau mengisi air baru sebelum anda pergi bekerja. Sekembalinya kerumah, anda bergegas ke reban untuk mengisi makanan dan air dan melihat perkembangan ayam. Hujung minggu dan cuti umum akan digunakan sepenuhnya untuk membuat senggaraan, membersih reban atau membina reban baru.



iv. Keupayaan untuk memasarkan hasil ternakan

Ternakan yang telah cukup masa untuk dijual perlu dipasarkan. Sebelum memulakan projek, anda harus membuat kajian potensi pasaran dikawasan anda. Anda harus mempunyai contact seperti rakan ternak, peraih atau orang tengah jika anda tidak menjualnya sendiri. Ayam yang tidak dijual akan menambahkan kos operasi. Jika hendak mendapatkan harga yang baik, anda terpaksa menjual sendiri di pasar-pasar awam atau dimana-mana yang sesuai. Akan harus cukup kuat dan berani untuk berdiri di khalayak ramai sambil mempromosikan ternakan anda.


v. Minat terhadap bidang penternakan.


Jangan anda sesekali menceburi bidang ternakan ayam hanya kerana terikut-ikut dengan arus semasa jika anda tiada minat langsung atau sekadar 'berminat'. Penternakan memerlukan minat yang mendalam, keazaman dan kesabaran. Tanpa minat, anda akan merasa penat melakukan kerja rutin setiap hari. Tetapi jika anda memang ada minat(seperti hobi), kerja rutin ini adalah seperti makan nasi setiap hari. Anda tidak rasa jemu makan nasi setiap hari. Minat yang ada akan menjadikan ternakan anda tidak terabai dan mati kelaparan kerana terbiar. Jika ada minat, anda akan sayangi ternakan anda seperti kucing anda dirumah. Mungkin anda hanya berminat, tetapi bukannya minat yang semulajadi. 'Berminat' tidak akan bertahan lama kerana pelbagai faktor yang mempengaruhi 'minat' anda. Tetapi jika anda benar-benar 'berminat', tak salah untuk mencuba secara kecil-kecilan dahulu untuk menguji sejauh mana 'minat' anda. Jika anda rasa tidak mampu untuk meneruskan projek ini didalam tempoh percubaan, anda tidak kerugian besar. Tetapi jika dalam tempoh percubaan itu, didapati diri anda mempunyai potensi dan berdaya maju, teruskan projek mengikut perancangan yang anda sediakan.

vi. Mempunyai kemahiran asas pertukangan, eletrik dan air.

Sebagai penternak kecil-kecilan atau sederhana, seberapa boleh biarlah anda ada kemahiran asas pertukangan kayu, eletrik dan air. Jika anda tiada kemahiran asas, anda terpaksa membayar upah semua kerja-kerja direban. Ini akan meningkatkan kos permulaan. Kebaikan nya selain menjimatkan kos permulaan, anda juga boleh membuat kerja 'upgrading' atau senggaraan jika berlaku kerosakan tanpa perlu membayar upah kepada orang lain.


B. Modal(Capital)


Setiap penternakan memerlukan modal. Jika kita kaji penternakan ayam berskala besar, ia memerlukan modal yang sangat besar untuk dilaburkan. Bayangkanlah sebuah ladang yang mengeluarkan 10,000 ekor semusim, ia memerlukan modal permulaan untuk membina reban sebanyak RM170,000.00 (berdasarkan kiraan seekor ayam memerlukan ruang satu kaki persegi x kos pembinaan reban RM17.00 sekaki persegi). Keuntungan bersih untuk setiap musim( 60 hari - ternak + membersih) hanyalah sekitar RM10,000.00. Pelaburan ini memerlukan masa selama 17 pusingan atau 3 tahun untuk mendapat semula modal tanpa mengambil kira kos maintanance luar jangka. Ini bermakna walau 10,000 ekor atau 50,000 ekor yang diternak, mengambil masa 3 tahun untuk mendapat semula modal/pelaburan. Hanya selepas 3 tahun, barulah penternak atau pelabur dapat menikmati keuntungan yang selesa.

Begitu juga didalam penternakan ayam kampong, seseorang bakal penternak mesti mempunyai modal yang bersesuaian dengan sais ternakan yang akan dibuat. Gunakan kebijaksanaan anda untuk mengurangkas kos permulaan membina reban dengan menggunakan bahan-bahan terbuang atau kitar semula seperti bahan binaan second hand. Rancang lah pembinaan reban mengikut keperluan awal dan peringkat pembesaran ayam dan tambah apabila diperlukan. Ikut tip-tip didalam posting saya yang lepas. Dengan cara ini, anda boleh mengurus kewangan anda mengikut keperluan semasa dan tidak dihabiskan pada tempat yang tidak memerlukan pada ketika itu. Jangan longgokkan semua ayam dari anak hingga dewasa didalam satu reban kerana ini memudahkan penularan penyakit.

Berbalik kepada tajuk modal, jangan anda sesekali beranggapan bahawa penternakan ayam kampong akan memulangkan hasil dalam masa yang singkat serta modal yang kecil. Untuk



menjamin pendapatan yang berterusan, p



erancangan yang teliti serta pengeluaran anak-anak ayam secara berterusan adalah kunci kejayaan. Oleh yang demikian, sudah pasti ada modal diperlukan untuk penghasilan anak, kos untuk makanan dan ubatan disamping pada masa yang sama anda terpaksa memberi makanan kepada ayam-ayam yang sedang membesar serta induk-induk pengeluaran telur. Justeru itu, untuk mengekalkan bekalan ayam yang berterusan, modal untuk kos pengeluaran terutamanya makanan adalah perlu disediakan. Untuk meringankan kos, penjualan telor dan anak yang ditetas boleh menampung sebahagian kos makanan.


Selain dari kos pembinaan reban, terdapat juga kos yang perlu dipertimbangkan pada peringkat awal. Antaranya adalah kos memasukkan bekalan air dan eletrik, meratakan atau menambak tanah, membuat perparitan dan pagar perimeter kawasan reban.

Kos makanan adalah penyumbang besar didalam kos operasi ternakan anda jika anda menggunakan 100% dedak/pellet makanan komersil. Anda harus membuat kajian tentang makanan alternatif samada membuat makanan formula sendiri, bahan/sisa makanan untuk mengurangkan kos makanan. Jangan anggap bahawa ternakan anda pandai mencari makanan sendiri sedangkan ayam anda dikurung sepenuhnya. Walaupun dilepas bebas 100%, makanan tambahan harus disediakan terutamanya diwaktu pagi, jika bilangan ternakan terlalu banyak berbanding sais/kawasan ladang untuk mencari makanan semulajadi.


Jika modal anda kecil, buat lah sedikit demi sedikit seperti mana idea 'Mat Jenin'. Idea 'Mat Jenin' sebenarnya adalah sangat baik dan logik untuk diikuti. Cuma, jangan berfikir mengenai perancangan kita semasa sedang memanjat pokok kelapa. Oleh kerana modal kita kecil, maka kita harus memikirkan kaedah untuk membesarkan bidang penternakan kita secara berperingkat tetapi berterusan sehingga mencapai sasaran yang anda tetapkan.

C. Tanah(Land)
Penternakan ayam kampong sudah pasti memerlukan tanah yang bersesuaian dengan skala ternakan anda. Diantara perkara yang dipertimbangkan untuk membuat projek ayam kampong asli adalah seperti berikut:

a. terdapat bekalan eletrik dan air - jimat belanja jika dibelakang rumah
b. sebolehnya jauh dari kawasan perumahan
c. perparitan yang sempurna untuk pengaliran air hujan
d. tiada pemangsa seperti monyet, musang, biawak, anjing atau ular
e. kawasan reban yang berpagar untuk menghindari serangan pemangsa
f. Jika keadaan mengizinkan, tapak reban induk hendaklah berasingan dari reban pembesaran untuk mengelak penyebaran penyakit jika berlaku serangan wabak

D. Pekerja(Labour)
Penternakan memerlukan pekerja untuk menjalankan tugas harian seperti memberi makan/minum, pembersihan serta penyenggaraan. Tugas-tugas ini tidak boleh tidak, mesti dilakukan setiap hari. Jika penternakan anda bersais kecil, anda boleh melakukan sendiri secara sepenuh masa atau part-time. Ini dapat menjimatkan kos gaji pekerja. Tetapi jika bersais sederhana dan besar, pekerja yang tetap hendaklah digajikan untuk menjalankan tugas-tugas tersebut. Projek lain secara integrasi diatas tanah yang sama boleh dilakukan untuk mengisi masa lapang yang terbiar selepas memberi makan dan minum seperti menternak ikan/lembu/kambing, keuntungannya dapat digunakan untuk membayar gaji pekerja tersebut. Pekerja ini juga boleh digunakan untuk membersih kawasan reban, membina reban-reban baru atau melakukan kerja senggaraan.


AKHIR SEKALI, SEBELUM MEMBUAT KEPUTUSAN UNTUK MEMULAKAN PROJEK INI, BUAT LAH SEMBAHYANG ISTIKHARAH UNTUK MENDAPAT PETUNJUK ALLAH S.W.T. DOANYA BERBUNYI BEGINI:


Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya.
(Dari hadis riwayat Imam Bukhari)

NOTA: Segala matlumat diatas adalah hasil dari pembacaan dan pengalaman saya sendiri. Jika ada matlumat yang didapati tidak tepat, ianya adalah kelemahan saya sendiri. Jika anda dapati ada matlumat yang tidak tepat, sila bantu saya memperbetulkannya menggunakan ruang 'comment' atau melaui email. Saya akan perbetulkan kesilapan yang berlaku. Segala sumbangan anda memperbaiki artikel ini saya hargai demi untuk kebaikan bersama terutama bakal-bakal penternak.

WASSALAM




MOHON KLIK WEBSITE YANG BERIKUT BAGI MEMBANTU SAYA MENAIKKAN RATING WEBSITE UNTUK MEMBANTU PERNIAGAAN SAYA SEKARANG. TERIMA KASIH

Pembekal Kayu Bakau: http://pembekal-kayu-bakau.com

                                     : http://www.facebook.com/pembekalkayubakau

Pembekal Atap Lalang: http://alangalangmalaysia.com


Pakej Katering/Kanopi/Perkahwinan ala Kampung: http://kahwin-kampung.blogspot.com

Tidak ada komentar:

Posting Komentar