Minggu, 10 Oktober 2010

'DO' AND 'DONT' SEMASA MENTERNAK AYAM KAMPONG


10/10 - Kali ini saya akan menyenaraikan perkara-perkara yang 'PERLU DIBUAT' dan 'JANGAN DIBUAT' atau 'D0 AND DON'T' didalam penternakan ayam kampong berdasarkan pembacaan dan pengalaman saya sendiri sebagai panduan untuk bakal-bakal penternak. Mungkin apa yang saya tulis tidak sama atau tidak kena pada pandangan orang lain, tetapi saya menulis apa yang saya alami dan lalui sendiri sepanjang menjadi penternak ayam kampong dengan hasil dan keputusan yang baik. Terpulang kepada pembaca menilai mana yang sesuai atau tidak. Yang baik dan berguna diamalkan, yang salah dan silap ditinggalkan.
Berikut adalah perkara-perkara yang perlu dibuat agar hasilnya baik dan dapat mengelakkan pelbagai masalah yang merugikan semasa dalam menternak.

A. PERLU DIBUAT(DO)

a) Diperingkat pengeluaran telor
i. Beri makanan yang berkhasiat kepada induk ayam supaya dapat kualiti telor yang baik dan induk sentiasa sehat.
ii. Nisbah bapak : ibu ayam tidak lebih 1:10 untuk tingkat peratus telor berbenih.
iii. Sediakan tempat bertelor secukupnya mengikut bilangan induk yang ada.
iv. Tempat bertelor hendaklah dibersihkan secara berjadual, diganti bahan lapik yang baru dan basmi kuman dengan diisfectant atau dibakar dengan api untuk membunuh hama.
v. Pungut telor sekerap mungkin supaya tidak kotor dan dieram.
vi. Letak tempat bertelor ditempat yang tidak terkena air hujan atau panas terik matahari.
vii. Buat reban berpagar yang selamat bagi mengelak pemangsa mencuri telor.
viii. Bersihkan kawasan reban, buang najis, sembur dengan pembasmi kuman seluruh kawasan reban termasuk sangkar secara berkala.
ix. Beri vaksin Newcastle Disease setiap 3 bulan untuk elak serangan sampar.
x. Beri vitamin didalam minuman sebagai ‘supplement’ untuk kesihatan ayam.
xi. Beri antibiotic kepada semua ayam yang lepas bebas untuk cegah penyakit kronik jika ada tanda-tanda awal penyakit pada ayam dan asingkan.

b) Diperingkat pengeraman menggunakan incubator.
i. Simpan telor yang dipungut untuk penetasan pada suhu bilik didalam tray telor secara menegak tidak lebih 7 hari.
ii. Bersihkan telor dari kekotoran najis atau tanah sebelum dimasukkan kedalam incubator.
iii. Tulis tarikh jangka menetas iaitu 21 hari selepas masuk incubator.
iv. Bersihkan incubator dengan pembasmi kuman sebelum telor dimasukkan.
v. Golek/pusing telor sekerap yang mungkin setiap hari. Minima 2-3 kali sehari jika guna incubator manual. Tangan hendaklah bersih semasa menggolek telor.
vi. Pantau jangka suhu dalam incubator supaya pada setting yang betul.
vii. Pantau kelembapan dalam incubator mengikut setting yang betul.
viii. Pastikan bekas air dalam incubator tidak kering.
ix. Seboleh-bolehnya, guna incubator berasingan untuk pengeram dan penetasan bagi memudahkan menjaga kebersihan incubator.
x. Pindahkan anak ayam dari incubator yang telah kering bulu kedalam brooder.

c) Diperingkat dalam Brooder(usia 1-18 hari)
i. Lapik brooder dengan bahan yang kering dan tidak licin permukaannya.
ii. Gunakan mentol 'filament' sebagai pemanas yang bersesuaian wattnya, 24 jam selama 2-3 minggu. Suhu tidak melebihi 32 darjah Celcius.
iii. Sediakan makanan dedak halus Gold Coin 201C dan air minuman sepanjang masa.
iv. Campurkan 'stimulant' yang mengandungi pelbagai vitamin dan amino asid sebagai penggalak makan dan menambah penyerapan zat makanan selepas hari ke 3-5 dan selang 5 hari sekali.
v. Jika tiada ‘stimulant’, vitamin hendaklah diberi sebagai ‘supplement’ secara berkala setiap 5 hari sekali.
vi. Basuh bekas minuman dan tukar air minuman setiap hari.
vii. Pastikan lantai brooder sentiasa kering sepanjang masa untuk kurangkan bau dan penularan penyakit.
viii. Pastikan peredaran udara yang mencukupi.
ix. Pastikan brooder diletak ditempat yang terlindung dari air hujan dan sinaran terus cahaya matahari.
x. Gunakan bahan yang dapat mengelak serangan pemangsa.
xi. Bersihkan brooder dengan diisfectant setiap kali sebelum anak ayam baru masuk.

d) Diperingkat reban asuh awal(usia 3-8 minggu)
i. Reban hendaklah dibina berlantai atas dan berlapik dengan bahan alas.
ii. Reban dibina berbumbung atau berada dibawah bangunan berbumbung dengan cukup peredaran udara dan cahaya matahari.
iii. Jaring hendaklah dipasang untuk mengelak gigitan nyamuk.
iv. Lantai hendaklah ada habuk kayu/sekam padi/surat khabar supaya sentiasa kering.
v. Lampu pemanas dipasang sebelah malam sahaja.
vi. Peredaran udara dalam reban hendaklah sempurna untuk elak kesan ammonia terutama diwaktu malam.
vii. Makanan dedak halus 201C hendaklah sentiasa diberi.
viii. Bersihkan bekas makanan/minuman dan tukar air minuman setiap hari.
ix. Beri vitamin secara berkala seminggu sekali.
x. Asingkan anak ayam yang sakit dan beri rawatan yang bersesuaian.
xi. Tukar/tambah habuk papan/sekam padi/surat khabar jika tahi ayam nampak basah atau banyak berlonggokan.
xi. Buka tirai/bidai diwaktu siang untuk kemasukan cahaya dan peredaran udara segar.
xii. Bersih reban dengan pembasmi kuman/diisfectant setiap kali sebelum anak ayam baru masuk.

e) Diperingkat reban asuh akhir(usia 8-16 minggu)
i. Reban hendaklah dibina berlantai jaring.
ii. Reban dibina berbumbung atau berada dibawah bangunan berbumbung dengan cukup peredaran udara dan cahaya matahari.
iii. Reban masih dipasang jaring nyamuk jika perlu diwaktu malam sahaja.
iv. Lampu tidak dipasang dimalam hari untuk rehatkan ayam.
v. Beri makanan 2 kali sehari(pagi dan petang) dengan dedak halus 201C.
vi. Bersihkan bekas minuman dan tukar air minuman setiap hari.
vii. Beri vitamin secara berkala seminggu sekali.
viii. Asingkan anak ayam yang sakit dan beri rawatan yang bersesuaian.
ix. Buang najis yang jatuh secara berjadual untuk elak penyakit kesan gas ammonia.
x. Bersihkan reban dengan pembasmi kuman/diisfectant setiap kali sebelum anak ayam baru masuk.

f) Diperingkat reban pembesaran(usia 16 minggu hingga dewasa)
i. Reban dibina atas tanah yang tinggi dan berbumbung untuk elak tanah yang lembab atau membina reban berlantai jaring jika keadaan tanah tak sesuai.
ii. Sediakan palang untuk bertenggek secukupnya.
iii. Reban hendaklah dibina berasingan dan dipagar untuk elak persaingan untuk mendapatkan makanan dengan ayam dewasa
iv. Beri makanan 2 kali sehari(pagi dan petang) dengan pellet 201P atau makanan alternatif yang berkhasiat.
v. Bersihkan bekas makanan/minuman dan tukar air minuman setiap hari.
vi. Beri vitamin sebagai ‘supplement’ secara berkala seminggu sekali.
vii. Beri antibiotik pada dos yang rendah secara berkala selang 1 atau 2 minggu sekali sebagai langkah pencegahan penyakit.
viii. Beri vaksin Newcastle Desease melalui minuman diwaktu pagi selepas makan semasa usia 4 bulan keatas sebagai langkah pencegahan dari serangan sampar ayam.
ix. Asingkan anak ayam yang sakit dan beri rawatan/antibiotik yang sesuai dengan dos yang lebih tinggi.
x. Tutup lampu dimalam hari untuk rehatkan ayam.
xi. Buang najis yang terkumpul dibawah reban atau atas tanah secara berkala.
xii. Bersihkan seluruh kawasan reban dan sembur dengan pembasmi kuman seluruh reban dan tanah secara berkala 1 atau 2 bulan sekali sebagai langkah pencegahan penularan penyakit.
Berikut adalah perkara-perkara yang jangan dibuat agar dapat mengelakkan pelbagai masalah yang merugikan semasa dalam menternak.

B. JANGAN DIBUAT(DON’T)

a) Diperingkat pengeluaran telor
i. Induk ayam tidak cukup makanan berkhasiat atau kelaparan pada waktu pagi dan petang.
ii. Ibu ayam terlalu banyak berbanding bapak ayam.
iii. Tempat bertelor tidak mencukupi hingga berlaku perebutan sarang/sangkar.
iv. Membiarkan tempat bertelor kotor dengan najis dan hama.
v. Telor lambat dipungut hingga ada yang telah dieram oleh ibu ayam.
vi. Ayam bertelor ditempat yang boleh kena air hujan dan panas terik.
vii. Membiarkan induk ayam bertelor ditempat yang mudah diserang pemangsa.
viii. Membiarkan reban dalam keadaan kotor dan tidak terurus.
ix. Tidak mengambil sebarang langkah pencegahan penyakit dengan pemberian antibiotic/vaksin/vitamin.
x. Membiarkan ayam yang sakit dan/atau tanda-tanda sakit bersama ayam lain didalam kawasan reban.
xi. Tidak mengambil sebarang tindakan merawat/memusnahkan ayam yangsakit.

b) Diperingkat pengeraman menggunakan incubator
i. Menyimpan telor ditempat yang panas, peti sejuk atau didalam bekas yang tertutup.
ii. Memasukkan telor yang sangat kotor kedalam incubator.
iii. Membiarkan incubator dalam keadaan kotor
iv. Membasuh telor dengan air yang suhunya lebih rendah daripada suhu telor.
v. Tidak merekod tarikh kemasukan telor kedalam incubator.
vi. Membiarkan telor tanpa digolek/pusing dalam tempoh yang lama. Menggunakan tangan yang kotor/tidak bersih semasa menggolek telor.
vii. Membiarkan suhu incubator terlalu rendah atau terlalu tinggi untuk jangkamasa yang lama.
viii. Membiarkan takung/bekas air kekeringan.
ix. Membiarkan anak ayam terlalu lama didalam incubator(mati kelaparan/kehausan).
x. Memindahkan anak ayam yang menetas terlalu awal ke brooder.

c) Diperingkat dalam Brooder(usia 1-18 hari)
i. Melapik brooder dengan bahan yang licin dan kalis air.
ii. Menggunakan mentol ‘energy saving’ (tidak panas) atau watt terlalu besar(kepanasan).
iii. Memberi makan secara berjadual(akan berebut bila kelaparan)
iv. Membiarkan anak ayam minum air sahaja tanpa 'stimulant'.(tiada selera/memilih makanan) atau vitamin sebagai supplement.
v. Tidak mengganti air baru dan membiarkan air bercampor makanan lebih sehari(air kotor dan busuk - jangkitan usus).
vi. Memasang penutup atau selimut hingga tiada peredaran udara segar.
vii. Meletakkan brooder ditempat yang terkena hujan dan panas matahari.
vii. Menggunakan brooder yang kotor secara berulang kali.

d) Diperingkat reban asuh awal(usia 3-8 minggu)
i. Membina reban diatas lantai simen atau tanah.
ii. Membina reban yang terdedah kepada hujan dan panas terik.
iii. Membina reban yang tidak cukup peredaran udara.
iv. Membiarkan anak ayam terdedah kepada gigitan nyamuk.
v. Meletak anak ayam diatas lantai jaring/tanah/lantai basah.
vi. Memadam lampu diwaktu malam(anak ayam kesejukan).
vii. Menyelimut reban hingga tiada peredaran udara.
viii. Mengawal/menyekat makanan untuk berjimat.
ix. Membiarkan bekas makanan/minuman dalam keadaan kotor
x. Membiarkan anak ayam yang sakit bersama anak ayan yang sehat.
xi. Membiarkan banyak najis dalam reban atau dalam keadaan basah.
xii. Memasukkan anak ayam kedalam brooder yang kotor dan tidak nyah kuman.

e) Diperingkat reban asuh akhir(usia 8-16 minggu)
i. Membina reban diatas lantai simen/tanah.
ii. Mendedahkan anak ayam kepada cuaca sejuk dan panas.
iii. Mengurung anak ayam dikawasan/reban yang sempit dan padat.
iv. Membiarkan ayam digigit nyamok pada malam hari.
v. Memasang lampu dimalam hari.
vi. Memberi makanan dedak kasar secara berterusan.
vii. Membiarkan bekas makanan/minuman dalam keadaan kotor.
viii. Membiarkan ayam kehausan terlalu lama(guna bekas bersesuaian)
ix. Membiarkan anak ayam yang sakit bersama ayam yang sehat.
x. Memasukkan anak ayam pelbagai peringkat umur/sais didalam reban yang sama
xi. Membiarkan najis berlonggokan banyak dibawah reban(gas ammonia banyak).

f) Diperingkat reban pembesaran(usia 16 minggu hingga dewasa)
i. Membina reban diatas tanah yang lembab atau banjir diwaktu hujan lebat.
ii. Membiarkan ayam tidor diatas tanah.
iii. Melepaskan anak ayam bersama ayam yang lebih dewasa untuk berebut makanan.
iv. Membiarkan ayam kelaparan kelaparan diwaktu malam.
v. Membiarkan bekas makana/minuman dalam keadaan kotor.
vi. Membiarkan ayam tanpa vaksin/antibiotik/vitamin jika dikurung dalam kuantiti besar.
vii. Membiarkan anak ayam yang sakit bersama ayam yang sehat.
viii. Memasang lampu yang terlalu terang.
ix. Membiarkan reban dalam keadaan kotor dan tidak terurus.
x. Mencampurkan anak ayam berbagai peringkat umur didalam reban yang sama.

KOMEN YANG POSITIF DAN MEMBINA ADALAH DIALU-ALUKAN
UNTUK MENGEMASKINI DAN MEMBETULKAN ARTIKEL INI.

MOHON KLIK WEBSITE YANG BERIKUT BAGI MEMBANTU SAYA MENAIKKAN RATING WEBSITE UNTUK MEMBANTU PERNIAGAAN SAYA SEKARANG. TERIMA KASIH

Pembekal Kayu Bakau: http://pembekal-kayu-bakau.com

                                     : http://www.facebook.com/pembekalkayubakau

Pembekal Atap Lalang: http://alangalangmalaysia.com


Pakej Katering/Kanopi/Perkahwinan ala Kampung: http://kahwin-kampung.blogspot.com


Minggu, 03 Oktober 2010

PERSIAPAN UNTUK MENJADI PENTERNAK AYAM KAMPONG ASLI

4/10 - Tajuk yang ingin saya perkatakan kali ini adalah persiapan yang perlu dilakukan oleh bakal penternak yang ingin menceburi bidang penternakan ayam sebagai penjana sumber pendapatan. Saya terpanggil untuk membincangkan perkara ini berikutan banyak penternak kecil-kecilan macam saya sendiri yang mengundurkan diri oleh berbagai sebab. Tajuk ini juga boleh digunakan oleh pembaca yang teringin untuk menceburi bidang penternakan dan sedang mengumpul matlumat, mencari panduan atau pengetahuan. Skop yang akan saya bincangkan adalah didalam bidang penternakan ayam kampong asli dan ayam kampong kacok komersil.

Didalam sesuatu bidang yang ingin diceburi terutamanya dibidang penternakan, kita tidak boleh lari dari 4 perkara asas yang perlu ada untuk menjayakan sesuatu projek . 4 komponen tersebut adalah keusahawananan(Entrepreneurship), modal(Capital), tanah(Land) dan pekerja(Labour). Saya akan membincangkan perkara ini satu persatu serta menghubung kaitkannya dengan keperluan didalam bidang penternakan.



MOHON KLIK WEBSITE YANG BERIKUT BAGI MEMBANTU SAYA MENAIKKAN RATING WEBSITE UNTUK MEMBANTU PERNIAGAAN SAYA SEKARANG. TERIMA KASIH

Pembekal Kayu Bakau: http://pembekal-kayu-bakau.com

                                     : http://www.facebook.com/pembekalkayubakau

Pembekal Atap Lalang: http://alangalangmalaysia.com


Pakej Katering/Kanopi/Perkahwinan ala Kampung: http://kahwin-kampung.blogspot.com


A. Keusahawananan(Entrepreneurship)

Jika seseorang ingin menjadikan penternakan sebagai penjana sumber pendapatan, ia harus mempunyai sifat-sifat sebagai seorang usahawan. Perkataan usahawan itu sendiri adalah berasal dari perkataan 'usaha'. Ini bermakna sesesorang yang ingin menternak hendaklah berusaha didalam bidang yang diceburinya dan usaha ini bermula dari peringkat membuat kajian:
a. kebolehan diri dari sudut ilmu pengetahuan atau pengalaman dalam bidang penternakan,
b. keupayaannya untuk mentadbir urus projek ternakannya,
c. keupayaannya untuk mengorbankan masa dan tenaganya yang terluang

sebelum ini

untuk perkara-perkara lain termasuk diri dan keluarga sendiri,

d. keupayaannya untuk memasarkan hasil ternakannya,

e. minatnya terhadap bidang penternakan.

f. mempunyai kemahiran asas pertukangan kayu, eletrik dan air.

Jika anda telah memenuhi keperluaan diatas, maka anda layak menjadi penternak ayam kampong dan boleh berjaya. Tanpa memenuhi salah satu dari perkara diatas, anda akan dapati bidang penternakan ayam adalah perkara yang membebankan diri anda dalam banyak sudut.


i) Ilmu pengetahuan atau pengalaman dalam penternakan
Tanpa pengetahuan atau pengalaman berkaitan penternakan ayam, bakal penternak itu telah menempah untuk gagal dari awal lagi. Tanpa pengetahuan tentang teknik-teknik pemeliharaan, pemakanan, penyakit dan ubat-ubatan, ternakan anda akan menghadapi masalah sepanjang tempoh pembesarannya. Jika tiada pengalaman, buatlah kajian secara ilmiah, menghadiri kursus atau secara 'attachment' di ladang-ladang atau reban rakan-rakan yang telah berjaya. Sambil mendapatkan pengalaman, timba ilmu pengetahuan seberapa banyak yang boleh. Selain dari itu, baca blog-blog penternak yang sudah berjaya kerana mereka adalah sumber ilmu. Ikut mana yang betul. Selepas itu, buat lah perancangan dengan teliti setiap peringkat-peringkat pelaksanaan yang dirancang supaya ada panduan atau hala tuju projek tersebut. 

Ingat, jika anda gagal merancang, anda merancang untuk gagal.



Jangan sesekali menyalahkan atau mengkritik penulis blog secara terbuka atau didalam email jika anda gagal secara keseluruhan atau diperingkat-peringkat tertentu. Kegagalan anda bukan berpunca dari kesilapan mereka. Pasti ada kesilapan yang dilakukan tanpa menyedari punca kesilapan itu berlaku. Sikap suka menuding jari tidak akan membawa anda kearah kejayaan. Sebenarnya, apabila anda menuding jari kearah seseorang, 3 jari lagi sedang menuding kearah anda sendiri. Muhasabah diri dahulu atas kegagalan yang berlaku pada diri anda. Buat 'post-mortem' secara iklas dan tidak menipu diri sendiri. Akui kelemahan diri sendiri, dan ambil tindakan memperbetulkan kesilapan tersebut.



ii) Keupayaan untuk mentadbir urus projek
Apabila anda telah membuat keputusan untuk menternak, fikirkan sedalam-dalamnya keupayaan diri anda untuk mengurus tadbir reban atau ladang anda. Walau sebesar mana projek, mesti ada yang mentadbir urus samada diri sendiri atau menggajikan seseorang bersesuai dengan kemampuan atau sais ternakan anda. Namun harus diingat, didalam projek yang kecil dan sederhana, adalah sangat digalakkan anda sendiri yang menguruskannya. Antara perkara yang perlu ditadbir urus adalah:
a. jadual makan seharian dan jenis makanan mengikut umur
b. jadual pembersihan bekas makan dan minum
c. jadual pemberian vaksin
d. jadual pemberian vitamin tambahan
e. jadual pembersihan najis
f.  jadual pembasmian kuman
g. pemberian antibiotik/ubat mengikut jenis simpton yang ditunjukkan
h. pengasingan ayam yang sakit dan rawatannya
i. tindakan pencegahan dari serangan pemangsa
j. pengasingan ayam yang akan dijual
k. lain-lalin lagi yang saya tak ingat nak tulis

Jika anda gagal untuk melaksanakan perkara-perkara yang dinyatakan diatas, anda sudah menempah kegagalan. Jika anda tidak berkemampuan untuk melaksanakan bersendirian jika ternakan skala kecil, fikir-fikir lah sendiri.


iii. keupayaan untuk mengorbankan masa dan tenaga

Untuk menjadi penternak, anda mesti bersedia mengorbankan masa dan tenaga yang terluang sebelum ini untuk perkara-perkara lain termasuk diri dan keluarga anda. Anda akan terikat kepada tugas-tugas rutin seperti memberi makan, minum, membersihkan reban, membuka dan menutup pintu reban, merawat ayam bila perlu dan sebagainya. Hujung minggu bukan lagi masa anda berehat dan membaca akbar sambil bersarapan dengan selesa. Cuti-cuti Malaysia tidak lagi menjadi agenda hidup anda kerana anda tidak boleh meninggalkan reban untuk jangka masa yang lama terutama anak-anak ayam yang baru menetas dan didalam brooder. Makan/minum anak ayam perlu diisi dan diganti air baru setiap hari. Telor-telor didalam incubator manual tidak boleh ditinggalkan kerana perlu digolek 2-3 kali setiap hari. Jika anda melakukan secara part-time, anda terpaksa bangun seawal 6 pagi untuk memberi makan atau mengisi air baru sebelum anda pergi bekerja. Sekembalinya kerumah, anda bergegas ke reban untuk mengisi makanan dan air dan melihat perkembangan ayam. Hujung minggu dan cuti umum akan digunakan sepenuhnya untuk membuat senggaraan, membersih reban atau membina reban baru.



iv. Keupayaan untuk memasarkan hasil ternakan

Ternakan yang telah cukup masa untuk dijual perlu dipasarkan. Sebelum memulakan projek, anda harus membuat kajian potensi pasaran dikawasan anda. Anda harus mempunyai contact seperti rakan ternak, peraih atau orang tengah jika anda tidak menjualnya sendiri. Ayam yang tidak dijual akan menambahkan kos operasi. Jika hendak mendapatkan harga yang baik, anda terpaksa menjual sendiri di pasar-pasar awam atau dimana-mana yang sesuai. Akan harus cukup kuat dan berani untuk berdiri di khalayak ramai sambil mempromosikan ternakan anda.


v. Minat terhadap bidang penternakan.


Jangan anda sesekali menceburi bidang ternakan ayam hanya kerana terikut-ikut dengan arus semasa jika anda tiada minat langsung atau sekadar 'berminat'. Penternakan memerlukan minat yang mendalam, keazaman dan kesabaran. Tanpa minat, anda akan merasa penat melakukan kerja rutin setiap hari. Tetapi jika anda memang ada minat(seperti hobi), kerja rutin ini adalah seperti makan nasi setiap hari. Anda tidak rasa jemu makan nasi setiap hari. Minat yang ada akan menjadikan ternakan anda tidak terabai dan mati kelaparan kerana terbiar. Jika ada minat, anda akan sayangi ternakan anda seperti kucing anda dirumah. Mungkin anda hanya berminat, tetapi bukannya minat yang semulajadi. 'Berminat' tidak akan bertahan lama kerana pelbagai faktor yang mempengaruhi 'minat' anda. Tetapi jika anda benar-benar 'berminat', tak salah untuk mencuba secara kecil-kecilan dahulu untuk menguji sejauh mana 'minat' anda. Jika anda rasa tidak mampu untuk meneruskan projek ini didalam tempoh percubaan, anda tidak kerugian besar. Tetapi jika dalam tempoh percubaan itu, didapati diri anda mempunyai potensi dan berdaya maju, teruskan projek mengikut perancangan yang anda sediakan.

vi. Mempunyai kemahiran asas pertukangan, eletrik dan air.

Sebagai penternak kecil-kecilan atau sederhana, seberapa boleh biarlah anda ada kemahiran asas pertukangan kayu, eletrik dan air. Jika anda tiada kemahiran asas, anda terpaksa membayar upah semua kerja-kerja direban. Ini akan meningkatkan kos permulaan. Kebaikan nya selain menjimatkan kos permulaan, anda juga boleh membuat kerja 'upgrading' atau senggaraan jika berlaku kerosakan tanpa perlu membayar upah kepada orang lain.


B. Modal(Capital)


Setiap penternakan memerlukan modal. Jika kita kaji penternakan ayam berskala besar, ia memerlukan modal yang sangat besar untuk dilaburkan. Bayangkanlah sebuah ladang yang mengeluarkan 10,000 ekor semusim, ia memerlukan modal permulaan untuk membina reban sebanyak RM170,000.00 (berdasarkan kiraan seekor ayam memerlukan ruang satu kaki persegi x kos pembinaan reban RM17.00 sekaki persegi). Keuntungan bersih untuk setiap musim( 60 hari - ternak + membersih) hanyalah sekitar RM10,000.00. Pelaburan ini memerlukan masa selama 17 pusingan atau 3 tahun untuk mendapat semula modal tanpa mengambil kira kos maintanance luar jangka. Ini bermakna walau 10,000 ekor atau 50,000 ekor yang diternak, mengambil masa 3 tahun untuk mendapat semula modal/pelaburan. Hanya selepas 3 tahun, barulah penternak atau pelabur dapat menikmati keuntungan yang selesa.

Begitu juga didalam penternakan ayam kampong, seseorang bakal penternak mesti mempunyai modal yang bersesuaian dengan sais ternakan yang akan dibuat. Gunakan kebijaksanaan anda untuk mengurangkas kos permulaan membina reban dengan menggunakan bahan-bahan terbuang atau kitar semula seperti bahan binaan second hand. Rancang lah pembinaan reban mengikut keperluan awal dan peringkat pembesaran ayam dan tambah apabila diperlukan. Ikut tip-tip didalam posting saya yang lepas. Dengan cara ini, anda boleh mengurus kewangan anda mengikut keperluan semasa dan tidak dihabiskan pada tempat yang tidak memerlukan pada ketika itu. Jangan longgokkan semua ayam dari anak hingga dewasa didalam satu reban kerana ini memudahkan penularan penyakit.

Berbalik kepada tajuk modal, jangan anda sesekali beranggapan bahawa penternakan ayam kampong akan memulangkan hasil dalam masa yang singkat serta modal yang kecil. Untuk



menjamin pendapatan yang berterusan, p



erancangan yang teliti serta pengeluaran anak-anak ayam secara berterusan adalah kunci kejayaan. Oleh yang demikian, sudah pasti ada modal diperlukan untuk penghasilan anak, kos untuk makanan dan ubatan disamping pada masa yang sama anda terpaksa memberi makanan kepada ayam-ayam yang sedang membesar serta induk-induk pengeluaran telur. Justeru itu, untuk mengekalkan bekalan ayam yang berterusan, modal untuk kos pengeluaran terutamanya makanan adalah perlu disediakan. Untuk meringankan kos, penjualan telor dan anak yang ditetas boleh menampung sebahagian kos makanan.


Selain dari kos pembinaan reban, terdapat juga kos yang perlu dipertimbangkan pada peringkat awal. Antaranya adalah kos memasukkan bekalan air dan eletrik, meratakan atau menambak tanah, membuat perparitan dan pagar perimeter kawasan reban.

Kos makanan adalah penyumbang besar didalam kos operasi ternakan anda jika anda menggunakan 100% dedak/pellet makanan komersil. Anda harus membuat kajian tentang makanan alternatif samada membuat makanan formula sendiri, bahan/sisa makanan untuk mengurangkan kos makanan. Jangan anggap bahawa ternakan anda pandai mencari makanan sendiri sedangkan ayam anda dikurung sepenuhnya. Walaupun dilepas bebas 100%, makanan tambahan harus disediakan terutamanya diwaktu pagi, jika bilangan ternakan terlalu banyak berbanding sais/kawasan ladang untuk mencari makanan semulajadi.


Jika modal anda kecil, buat lah sedikit demi sedikit seperti mana idea 'Mat Jenin'. Idea 'Mat Jenin' sebenarnya adalah sangat baik dan logik untuk diikuti. Cuma, jangan berfikir mengenai perancangan kita semasa sedang memanjat pokok kelapa. Oleh kerana modal kita kecil, maka kita harus memikirkan kaedah untuk membesarkan bidang penternakan kita secara berperingkat tetapi berterusan sehingga mencapai sasaran yang anda tetapkan.

C. Tanah(Land)
Penternakan ayam kampong sudah pasti memerlukan tanah yang bersesuaian dengan skala ternakan anda. Diantara perkara yang dipertimbangkan untuk membuat projek ayam kampong asli adalah seperti berikut:

a. terdapat bekalan eletrik dan air - jimat belanja jika dibelakang rumah
b. sebolehnya jauh dari kawasan perumahan
c. perparitan yang sempurna untuk pengaliran air hujan
d. tiada pemangsa seperti monyet, musang, biawak, anjing atau ular
e. kawasan reban yang berpagar untuk menghindari serangan pemangsa
f. Jika keadaan mengizinkan, tapak reban induk hendaklah berasingan dari reban pembesaran untuk mengelak penyebaran penyakit jika berlaku serangan wabak

D. Pekerja(Labour)
Penternakan memerlukan pekerja untuk menjalankan tugas harian seperti memberi makan/minum, pembersihan serta penyenggaraan. Tugas-tugas ini tidak boleh tidak, mesti dilakukan setiap hari. Jika penternakan anda bersais kecil, anda boleh melakukan sendiri secara sepenuh masa atau part-time. Ini dapat menjimatkan kos gaji pekerja. Tetapi jika bersais sederhana dan besar, pekerja yang tetap hendaklah digajikan untuk menjalankan tugas-tugas tersebut. Projek lain secara integrasi diatas tanah yang sama boleh dilakukan untuk mengisi masa lapang yang terbiar selepas memberi makan dan minum seperti menternak ikan/lembu/kambing, keuntungannya dapat digunakan untuk membayar gaji pekerja tersebut. Pekerja ini juga boleh digunakan untuk membersih kawasan reban, membina reban-reban baru atau melakukan kerja senggaraan.


AKHIR SEKALI, SEBELUM MEMBUAT KEPUTUSAN UNTUK MEMULAKAN PROJEK INI, BUAT LAH SEMBAHYANG ISTIKHARAH UNTUK MENDAPAT PETUNJUK ALLAH S.W.T. DOANYA BERBUNYI BEGINI:


Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya.
(Dari hadis riwayat Imam Bukhari)

NOTA: Segala matlumat diatas adalah hasil dari pembacaan dan pengalaman saya sendiri. Jika ada matlumat yang didapati tidak tepat, ianya adalah kelemahan saya sendiri. Jika anda dapati ada matlumat yang tidak tepat, sila bantu saya memperbetulkannya menggunakan ruang 'comment' atau melaui email. Saya akan perbetulkan kesilapan yang berlaku. Segala sumbangan anda memperbaiki artikel ini saya hargai demi untuk kebaikan bersama terutama bakal-bakal penternak.

WASSALAM




MOHON KLIK WEBSITE YANG BERIKUT BAGI MEMBANTU SAYA MENAIKKAN RATING WEBSITE UNTUK MEMBANTU PERNIAGAAN SAYA SEKARANG. TERIMA KASIH

Pembekal Kayu Bakau: http://pembekal-kayu-bakau.com

                                     : http://www.facebook.com/pembekalkayubakau

Pembekal Atap Lalang: http://alangalangmalaysia.com


Pakej Katering/Kanopi/Perkahwinan ala Kampung: http://kahwin-kampung.blogspot.com

Jumat, 01 Oktober 2010

KEMATIAN TERNAKAN BUKAN BERERTI KEGAGALAN

1/10 - Lama juga saya tidak menulis artikel baru. Bukan tiada apa-apa nak ditulis, cuma menanti saat dan ketika yang sesuai. Setelah saya mengikuti banyak blog-blog penternak sejak saya berkecimpung didalam penternakan, saya dapati pada peringkat awalnya penternakan ayam kampong begitu mendapat sambutan dari penternak-penternak muda. Banyak blog-blog baru dibuka samada oleh penternak baru atau yang dah lama memulakan penternakan. Keadaan ini menyebabkan ramai penternak baru tertarik untuk mencuba melibatkan diri didalam penternakan ayam kampong asli atau kacuk bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Bagi penternakan ayam kacuk, memulakan tidak sukar kerana ada jalan pintas iaitu dengan membeli anak-anak ayam kacuk dari pembekal komersil samada sedikit-sedikit atau dalam jumlah yang besar. Bagi penternakan ayam kampung asli pula, agak sukar sedikit. Mereka terpaksa memulakan penternakan dengan membeli induk-induk bagi mendapatkan anak melalui telor yang di eram secara semulajadi atau oleh incubator atau membeli anak-anak dari penternak yang telah 'established'.

Bagi penternak yang sangat baru, jarang sekali mereka akan menggunakan incubator untuk penetasan anak kerana kurang yakin dengan incubator itu sendiri atau kurang yakin dengan pengetahuan yang ada. Maka timbul ilham oleh beberapa penternak yang berpengalaman mengadakan kelas atau kursus teknik-teknik penternakan ayam kampong asli. Kursus yang ada dijadikan sebagai jalan pintas untuk menimba ilmu pengetahuan berkaitan penternakan oleh bakal-bakal penternak atau yang baru memulakan penternakan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan mereka. Saya sendiri termasuk dalam kumpulan seperti mereka, bezanya saya tidak berkursus langsung. Tetapi saya sangat banyak meluangkan masa mengkaji dan membaca blog-blog dari dalam atau luar negara untuk mendapatkan seberapa banyak pengetahuan sebagai persediaan sebelum memulakan penternakan ayam kampong. Lebih dua bulan pada setiap hari saya membaca blog-blog dan membuat catitan atau cetakan perkara-perkara yang menarik perhatian saya.

Sebenarnya saya telah mencuba menternak ayam kacuk sebanyak 200 + 200 ekor sebagai ujikaji untuk menimba pengalaman sebelum memulakan penternakan ayam kampong asli. Tanpa ilmu pengetahuan asas tentang penternakan, saya yakinkan diri untuk mencuba. Pada peringkat awal dari tarikh tiba anak hingga umur 6 minggu semasa anak ayam masih didalam brooder dan reban asuh, semua anak-anak ayam sehat walafiat, tiada masalah pada peringkat ini. Terlalu jarang berlaku kematian. Selepas turun tanah, anak-anak ayam mula menunjukkan masalah sedikit demi sedikit. Maklumlah, tiada pengalaman. Masalahnya bermula apabila saya menganggap anak ayam pandai membawa diri untuk masuk reban diwaktu senja/malam atau mencari perlindungan diwaktu hujan. Dengan reban yang terbuka, tanpa dinding, kesejukan pada malam hari tidak dapat ditanggung oleh anak ayam ini yang tidor tak tentu tempat. Bersepah-sepah secara berkumpulan untuk memanaskan badan. Inilah titk tolak ayam mula tak selera makan, murung, sakit, kepak jatuh, bulu kusut dan lain-lain. Akibatnya, ayam mula mati se ekor demi se ekor oleh pelbagai sebab yang tidak saya fahami langsung pada ketika itu. Saya tidak mengambil apa-apa tindakan untuk memperbaiki keadaan samada bertanya pada yang pandai atau memberi ubat/antibiotik. Saya hanya mengutip bangkai-bangkai ayam yang mati setiap hari dan membuang/bakar sehinggalah tak banyak yang tinggal. Akhir sekali, seingat saya, mungkin tinggal dalam 100 ekor saja dan dapat dijual sedikit sahaja manakala bakinya saya biarkan sehingga dewasa untuk dijadikan induk. Tidak banyak yang mencapai umur dewasa sehingga menjadi induk, mungkin dalam 15 ekor sahaja. Gambar saya (memakai T-Shirt Biru) pada sebelah kanan memegang anak ayam dikelilingi oleh anak-anak ayam (yang masih belum bermasalah) berlatarbelakang reban pertama adalah kenangan pertama menjadi penternak ayam. Pasaran juga bermasalah, sangat sukar menjual ayam kacuk, peraih ayam tidak berminat kerana tidak dimakan oleh orang Cina. Mereka kenal sangat ayam kacok dengan melihat rupa sahaja. Kalau diambil, harganya pula sangat murah, tidak berbaloi dengan perbelanjaan makanan yang diberi.

Pengalaman menternak anak ayam kacok dijadikan pengalaman pahit untuk dikenang dan sebagai tauladan kepada diri sendiri. Saya tidak berhenti begitu sahaja. Setelah membaca blog-blog penternakan lebih 2 bulan, saya membuat keputusan untuk menternak ayam kampong asli berdasarkan permintaannya yang tiada had dan sentiasa kekurangan bekalan dengan harga jualan di reban yang amat menarik. Selain dari itu, keputusan ini saya buat adalah kerana untuk memulakan penternakan ayam kampong, modalnya tidak besar sangat berbanding ayam daging yang memerlukan modal yang sangat besar. Keperluaan asasnya tidak lah membebankan dan boleh dipertingkatkan sedikit demi sedikit mengikut keperluan dan peruntukan kewangan yang ada. Sebagai permulaan, oleh kerana terlalu baru dalam penternakan, saya suruh anak tuan tanah belikan induk dari orang kampong. Tetapi saya kurang puas hati kerana induk betina selalunya kecil-kecil(kacuk ayam hutan). Ada juga saya beli dari penjual ayam di gerai yang menjual ayam tetapi hampir sama juga keadaannya dimana ayam-ayamnya tidak besar sangat, maklumlah ayam dara. Saya mula merayau dari kampong ke kampong, dapat lah juga sehingga 20 ekor baka yang besar. Saya tidak mengira sangat dari segi harga kerana memang susah nak dapat ayam terutamanya bapak ayam yang dah jagoh. Nak beli pun orang tak nak jual. Nak jual pula, ayam tidor atas pokok. Memang susah nak kumpul stok induk. Saya mula berkenalan dengan Saiful Citypull dan dari dialah saya mula mengenali incubator dan juga memberi nama pembekal induk ayam iaitu Cikgu Ajil - Ayam Kampong Opah. Terima kasih kepada mereka berdua kerana dari saat itulah saya semakin yakin untuk menternak ayam kampong. Dua kali saya membeli induk dari Cikgu Ajil berjumlah lebih kurang 60 ekor. Saat yang paling menyedihkan dan membuat saya sangat marah pada anjing adalah apabila 3 ekor ayam jantan baka baik dan 6 ekor betina yang dah bertelor mati dibaham anjing pada suatu malam. Ketika itu, pagar reban belum siap sempurna, dan musim anjing-anjing bermaharajalela sehingga orang kampong tak tahan melihat ayam mereka asyik dibaham anjing. Namun pada ketika ini, semua anjing-anjing tu dah jadi arwah, tak tahu siapa yang bunuh semuanya dan tak tinggal baka. Syukurlah sekarang tiada lagi pemangsa itu. Sebab itulah, seluruh kebun itu saya pagar dengan dawai dan net orkid.

Berbalik semula kepada tajuk penternakan, saya dapati sebelum serangan sampar menyerang seluruh semenanjung, sudah mula saya dapati banyak bolg-bolg penternak tempatan tidak aktif lagi. Seolah-olah reban dan ternakan mereka telah berkubur dan kebanyakan mereka adalah merupakan penternak-penternak muda yang baru melibatkan diri. Kalau dilihat dari fizikal, besar juga modal yang telah dilaburkan. Ada ternakan yang diserang musang, monyet, biawak, anjing, ular dan tikus. Ada juga yang bungkus kerana diserang musang berambut hitam. Begitu juga sejak serangan sampar melanda akhir-akhir ini, satu demi satu blog-blog penternak mula tidak aktif atau 'up to date'. Mungkin mereka juga telah mengundur diri dari penternakan secara perlahan-lahan setelah mendapati penternakan ini tidak menguntungkan sebagaimana diharapkan. Namun demikian, saya dapati penternak-penternak yang veteran, mereka kekal bertahan dan semakin berkembang maju dari segi bilangan ternakan atau jumlah reban yang baru dibina. Mungkin golongan ini adalah golongan yang telah melalui pelbagai onak dan duri, serta ranjau didalam penternakan. Sebab itu mereka kekal sehingga ke hari ini.

Tujuan saya terpanggil untuk menulis tajuk ini adalah untuk menyampaikan pandangan saya berkaitan semangat juang yang perlu ada untuk maju dan terus berjaya. Terlebih dahulu saya ingin memaklumkan, sebenarnya saya juga belum berjaya dan jauh dari berjaya serta dalam proses menimba pengalaman. Tetapi saya ingin mengambil kesempatan untuk berkongsi pengalaman dan mengingatkan diri sendiri. Semuga kita sama-sama dapat saling membantu rakan-rakan ternak yang telah terkena serangan sampar akhir-akhir ini atau kepada rakan-rakan yang telah mengundurkan diri. Saya sangat simpati dengan mereka dan sangat faham perasaan yang melanda mereka. Dapat saya bayangkan perasaan mereka apabila melihat ternakan yang disayangi hilang dalam masa yang singkat, selain wang ringgit , masa dan keringat yang telah dikorbankan. Justeru itu saya mengambil kesempatan ini untuk mengajak rakan-rakan ternak bangun semula. Jangan pandang ke belakang, jadikan sejarah sebagai panduan untuk masa hadapan. Seseorang tidak akan berjaya jika asyik memandang kebelakang. Kumpulkan semangat, keazaman dan kekuatan fizikal dan mental untuk bangun dan mencuba semula. Kalah sekali tidak bermakna kalah selama-lamanya. Biar berundur sementara, tetapi berundur untuk mengatur strategi baru. Jadikan kegagalan yang lalu untuk mencari kekuatan baru. Banyak orang-orang yang telah berjaya dimasa lampau dan masa kini berasal dari orang yang telah gagal beberapa kali. Tetapi mereka tidak menjadikan kegagalan untuk berhenti mencuba. Mereka jadikan kegagalan sebagai pendorong untuk mengejar kejayaan. Jangan kita sangka, orang cina kalau buat sesuatu, semuanya berjaya. Mereka juga manusia biasa macam kita. Mereka juga ada yang gagal dalam perniagaan/pelaburan yang diterokai. Tetapi mereka tidak jemu mencuba, itu saja bezanya.

Ayuh....bangunlah. Kumpulkan kekuatan, bangun sekali lagi. Jangan mengalah. Semuga usaha anda semua akan berjaya suatu hari nanti. Kejayaan yang kita lihat pada orang lain sebenarnya tidak terjadi dalam masa yang singkat. Mereka yang berjaya dari bawah, akan kekal berada diatas kerana mereka mempunyai asas yang kukuh dari segi pengetahuan dan pengalaman. Pengetahuan boleh dicari....tetapi pengalaman harus dilalui. Pengetahuan tanpa pengalaman, sukar untuk mencapai kejayaan. Walau bagaimanapun, sebelum memulakan penternakan, persiapkan diri dengan secukupnya ilmu pengetahuan yang asas berkaitan teknik-teknik penetasan, pemeliharaan, kawalan/pencegahan penyakit dan ubat-ubatan. Jangan sesekali mengambil mudah terhadap kebersihan reban. Itulah punca sebenar kematian ternakan kita. Terlalu banyak penyakit ayam, tetapi ada beberapa penyakit yang berkait rapat dengan kebersihan reban. Penyakit inilah yang sangat merbahaya kepada ternakan dan akan membunuh ternakan kita secara perlahan atau dengan mengejut. Kita tidak boleh salahkan penyakit tersebut, tetapi salahkan diri kita sendiri. Ini adalah kerana, kita yang mengundang penyakit tersebut ke reban kita.

Kita sering tersalah anggap kononnya ayam kampong tahan lasak. Ini sama sekali tidak benar kecuali didalam beberapa perkara tertentu. Namun tahan lasaknya ayam kampong itu tidak terjadi pada kesemuanya dan setelah melalui saringan hidup, hanya beberapa ekor sahaja yang berjaya mendapat immuniti semulajadi dan meneruskan kehidupan. Bagi ayam yang diternak secara lepas bebas, ayam ini mempunyai naluri tentang keselesaan, kebersihan dan keselamatan. Mereka akan mencari tempat tidor yang bersih dan kering, selamat dari ancaman pemangsa seperti diatas dahan pokok atau pada palang kayu didalam reban. Kita juga dapati bahawa ayam ini suka tempat yang tinggi dan ini ada kaitan dengan faktor keselamatan dan kebersihan. Dari sudut keselamatan, ketinggian juga memberikan mereka perasaan selamat. Manakala dari sudut kebersihan yang berkait rapat dengan kesehatan, ketinggian memberikan keselesaan dan kebersihan dari gas ammonia. Gas ammonia yang keluar dari najis ayam adalah gas berat yang beracun dan ia akan memenuhi ruang lantai atau pada paras tanah. Dari sudut kesehatan pula, ayam-ayam akan mencari nutrition yang diperlukan dengan memakan herba-herba seperti rumput sebagai sumber vitamin dan binatang kecil seperti cacing dan serangga kecil sebagai sumber protin untuk membina daging dan membina antibody secara semulajadi.

Dari pemerhatian kehidupan semulajadi ayam ini, kita perlu melakukan sesuatu untuk meniru keperluan ayam-ayam ini jika hendak menternak secara kecil, sederhana atau besar terutama didalam reban yang dikurung sepenuh masa. Makanan yang baik kandungan nutritionnya, vitamin tambahan melalui minuman sebagai 'supplement' hendaklah diberi secara konsisten. Pemberian vaksin dan antibiotik untuk melindungi dari penyakit-penyakit berbahaya hendaklah mengikut jadual atau mengikut keperluan.

Akhir sekali, saya mengharap semua rakan ternak yang telah patah semangat, cuba dan terus mencuba lagi . Ia harus melalui usaha yang gigih, semangat yang waja dan minat yang mendalam.

'JIKA ADA KEMAHUAN, PASTI ADA JALAN'
'YANG BULAT TIDAK DATANG MENGGOLEK, YANG PIPIH TIDAK DATANG MELAYANG'
'PLAN WHAT YOU DO, DO WHAT YOU PLAN'
'KALAU TAK DIPECAH RUYUNGNYA, MANAKAN DAPAT SAGUNYA'

Selamat Maju Jaya.
Wassalam

Firmah Allah maksudnya:

'TIDAK BERUBAH NASIB SESUATU KAUM, KECUALI KAUM ITU MENGUBAH NASIBNYA SENDIRI'